Scomi Dapat Kontrak Monorel RM1.846 Bilion Di Mumbai


KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Scomi Engineering Bhd berjaya meraih kontrak monorel di Mumbai, India bernilai RM1.846 bilion di bawah konsortium yang tidak diperbadankan dengan Larsen & Toubro Ltd (L&T).

Semasa memaklumkan kepada Bursa Malaysia di sini pada Isnin, Scomi berkata L&T akan menjadi peneraju konsortium setelah pihak-pihak yang berkenaan tidak berhasrat untuk memperbadankan syarikat usaha sama untuk melaksanakan projek tersebut.

L&T, sebuah syarikat pembinaan, mempunyai rekod prestasi yang baik sebagai pembina projek infrastruktur berkaitan rel termasuk New Delhi Metro.

Projek monorel sepanjang 19.5 kilometer itu bermula dari barat daya bandar raya di Gadge Maharaj Chowk (Jacob Circle) ke barat laut di Chembur.

Niaga janji berkenaan melibatkan reka bentuk, pembangunan, pembinaan, ujian dan pelaksanaan sistem termasuk pensijilan keselamatan untuk operasi komersil dalam masa 30 bulan daripada tarikh pengeluaran surat penerimaan.

Operasi dan penyenggaraan sistem adalah untuk tiga tahun selepas pelaksanaan sistem.

Berdasarkan kepada skop kerja Scomi Engineering, nilai anugerah kontrak itu ialah RM823.299 juta.

Projek monorel itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat, katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.