Laporan Eurocopter dibentang tiga hari lagi: Azmi

KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat dalam masa dua tiga hari lagi.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata laporan itu sedang disiapkan anggota jawatankuasa itu.

“Kita sudah mengarahkan supaya laporan itu dipercepatkan dan dijanjikan kepada saya dalam dua tiga hari ia akan dapat ditaip dan diedarkan.

"Ini kerana setiap kali mesyuarat PAC dibuat, laporannya dibuat secara verbatim dan rumusan juga akan dilaporkan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau memberikan penjelasan itu berikutan tindakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang membangkitkan isu itu di dalam dan di luar persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azmi berharap anggota pembangkang bersabar menunggu laporan itu dikemukakan di Dewan Rakyat dan menggunakan peluang itu untuk membangkitkan sebarang isu berkaitan dengan pembelian Eurocopter itu.

PAC pada mesyuaratnya 3 November lalu memutuskan, tiada penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter itu berikutan tinjauan yang dibuat oleh badan itu selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, mendapati prosedur pembeliannya adalah mengikut tata cara yang ditentukan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Azmi berkata dalam laporan itu, PAC turut mengemukakan cadangan bagi tujuan penambaikan dalam urusan pembelian helikopter itu.

Lim dalam persidangan dewan sebelum itu berkata beliau berharap PAC dapat membentangkan laporan itu mengikut cara yang betul dan dibahaskan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.