oh kamilia....engkau lah pujaan hatiku........
KUALA LUMPUR: Exco Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim berkata beliau tetap mahu bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti, Mac depan.
Ketika menyatakan pendiriannya itu kepada Bernama hari ini, Kamilia berkata beliau menawarkan diri bagi jawatan itu kerana beliau tidak mengiktiraf pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu pada Jun depan.
Beliau berkata pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan “bukan amalan Umno”.
Kamilia, yang telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk semalam, berkata tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.
“Saya telah bagi mesej yang jelas, bila saya tidak datang bermakna saya tidak dapat menerima pelan peralihan kuasa itu,” katanya.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata bukanlah hak Exco Wanita untuk menentukan siapa pemimpin pergerakan itu.
Exco Pergerakan Wanita Umno semalam memutuskan pelan peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan pada Jun 2009.
Mesyuarat itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno Mac depan demi perpaduan dan pengukuhan sayap Umno itu.
Mesyuarat itu menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.
Kamilia, yang layak bertanding bagi jawatan itu setelah memperoleh 55 pencalonan, berkata pemimpin pergerakan itu haruslah dipilih oleh anggota dan akar umbi.
Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat mengetahui pendiriannya yang tidak menyetujui pelan peralihan itu, Kamilia berkata: “Saya rasa mereka berdua tahu”.
Katanya beliau melihat terdapat kekosongan pada jawatan nombor dua dalam pergerakan itu selepas Rafidah memaklumkan hasrat untuk “berhenti" memimpin pergerakan itu pada Ogos lalu.
“Saya tetap tawarkan diri kerana Rafidah kata hendak berhenti. Dan saya tawarkan diri kerana telah dapat cukup pencalonan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau “kisah” untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan itu, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berdepan dengan sesiapa jua.
Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat telah menghubungi beliau untuk berunding seperti yang dilaporkan, Kamilia berkata beliau belum dihubungi oleh kedua-dua pemimpin itu.
Kamilia bagaimanapun berkata beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu kedua-dua pemimpin itu untuk berunding.
“Saya tak nak jumpa kerana pendirian (saya) sudah ada,” katanya.
Katanya beliau menawarkan diri bagi jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memperjuangkan isu Islam dengan lebih berkesan memandangkan isu agama itu kini kerap dipersoalkan.
“Sebagai seorang peguam dan ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam Umno, saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Saya perlu tempat lebih tinggi kerana saya nampak ada kekosongan,” katanya.
Sementara itu, Shahrizat dalam kenyataannya hari ini berkata beliau berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.
“Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.
“Seterusnya, jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua terpaksa dikosongkan. Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini,” katanya.
No comments
Post a Comment