lawan jangan tak lawan...
PETALING JAYA: Selepas lebih 24 jam Wanita Umno mengadakan mesyuarat Exco memutuskan untuk menerima pelan peralihan Jun 2009, dua pemimpin kanan pergerakan itu hari ini membayangkan petanda baru, yang jelas bahawa akan ada pertandingan bagi jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita.
Mengambil kira kenyataan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalin dan Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim hari ini, pergerakan itu juga bakal menyaksikan pertandingan.
Shahrizat berkata, beliauh masih berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno dan Naib Ketua Wanita umno perlu diselaraskan dengan badan induk, Pemuda dan Puetra sempena Perhimpunan Agung Umno Mac depan.
"Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.
"Seterusnya jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua Wanita Umno terpaksa dikosongkan.
"Ini merugikan kepimpinan wanita Umno dalam senario politik hari ini," kata beliau dalam kenyataannya.
Sementara itu ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Kamilia berkata, beliau bertegas untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno.
"Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding jawatan Naib Ketua.
"Saya menawarkan diri untuk bertanding sebelum ini kerana Tan Sri (Rafidah) sendiri yang mengatakan beliau mahu berhenti daripada jawatan Presiden.
"Jadi saya nampak jawatan Naib Ketua itu kosong kerana (Datuk Seri) Shahrizat yang memegang jawatan itu pada masa ini akan pergi ke jawatan nombor satu," katanya.
Ketika menyatakan pendiriannya itu kepada Bernama hari ini, Kamilia berkata, beliau menawarkan diri bagi jawatan itu kerana beliau tidak mengiktiraf pelan peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu pada Jun 2009.
Katanya, pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan "bukan amalan Umno".
Kamilia, yang telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk semalam, berkata tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.
"Saya telah bagi mesej yang jelas, bila saya tidak datang bermakna saya tidak dapat menerima pelan peralihan kuasa itu," katanya.
Kamilia yang merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, bukanlah hak Exco Wanita untuk menentukan siapa pemimpin pergerakan itu.
Exco Pergerakan Wanita Umno semalam memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun 2009.
Mesyuarat itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno Mac depan demi perpaduan dan pengukuhan sayap Umno itu.
Mesyuarat itu menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.
Kamilia, yang layak bertanding bagi jawatan itu setelah memperoleh 55 pencalonan, berkata pemimpin pergerakan itu haruslah dipilih oleh anggota dan akar umbi.
Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat mengetahui pendiriannya yang tidak menyetujui pelan peralihan itu, Kamilia berkata: "Saya rasa mereka berdua tahu".
Katanya, beliau melihat terdapat kekosongan pada jawatan nombor dua dalam pergerakan itu selepas Rafidah memaklumkan hasrat untuk "berhenti" memimpin pergerakan itu pada Ogos lepas.
"Saya tetap tawarkan diri kerana Rafidah kata hendak berhenti. Dan saya tawarkan diri kerana telah dapat cukup pencalonan," katanya.
Ditanya sama ada beliau "kisah" untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan itu, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berhadapan dengan sesiapa jua.
Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat telah menghubungi beliau untuk berunding seperti yang dilaporkan, Kamilia berkata, beliau belum dihubungi oleh kedua-dua pemimpin itu.
Kamilia bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu keduadua pemimpin itu untuk berunding.
"Saya tak nak jumpa kerana pendirian (saya) sudah ada," katanya.
Katanya, beliau menawarkan diri bagi jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memperjuangkan isu Islam dengan lebih berkesan memandangkan isu agama itu kini kerap dipersoalkan.
"Sebagai seorang peguam dan ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam Umno, saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Saya perlu tempat lebih tinggi kerana saya nampak ada kekosongan," katanya.
No comments
Post a Comment