MCA berbalah..UMNO haru biru..MIC hancur


Presiden Dan Timbalan Presiden MCA Kembali Bertelagah



KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sudah menjadi satu kelaziman bagi MCA, presiden dan timbalannya jarang mempunyai hubungan akrab dan perkara ini tidak terkecuali bagi Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dipilih menyandang jawatan itu baru-baru ini.

Belum pun sampai sebulan pemilihan parti itu berakhir, sejarah nampaknya kembali berulang apabila Tee Keat dan Dr Chua bertelagah secara terbuka berikutan tindakan Tee Keat melantik sekutu dan orang kepercayaannya menyandang jawatan penting seperti setiausaha agung, bendahari agung dan setiausaha jawatankuasa pengelola parti itu Selasa lepas.

Perkara yang paling tidak boleh diterima oleh Dr Chua dan penyokong beliau ialah tindakan Tee Keat mengetepikannya daripada menyandang jawatan pengerusi MCA negeri dan sebaliknya memberi jawatan ketua Biro Pemantauan Hal Ehwal Kerajaan yang dianggap tidak penting atau tidak "glamour" kepadanya.

Beberapa "orang dalam" parti itu berkata senario yang wujud selepas pemilihan MCA tidak membawa kebaikan kepada parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu dan mengecewakan penyokong kedua-dua pemimpin berkenaan, yang disifatkan sebagai "dua harimau" oleh kebanyakan anggota MCA.

Berikutan kekalahan teruk MCA pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, majoriti anggota perwakilan yang menghadiri pemilihan parti itu memberi kepercayaan kepada Tee Keat dan Dr Chua untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina terhadap MCA berdasarkan "kekuatan dan keperibadian" mereka, walaupun wujud kesedaran bahawa dua pemimpin berkenaan memiliki gaya dan pendekatan berbeza dalam mengendalikan hal ehwal parti, kata orang dalam parti itu.

Semasa berkempen bagi menghadapi pemilihan parti, Tee Keat dan Dr Chua bertelagah dengan teruk dan apabila keputusannya diketahui, beberapa penganalisis segera melahirkan keraguan bahawa dua harimau berkenaan mampu bekerjasama sebagai sebuah pasukan.

"Sepatutnya, kedua-dua pemimpin ini menjelaskan bagaimana mereka boleh bekerjasama. Kami sudah buat keputusan dan sudah tentu kami tidak mahu kembali bercakaran sesama sendiri," kata seorang anggota MCA dengan nada kecewa kepada Bernama setelah kedua-dua pemimpin itu mula menyelar satu sama lain melalui media selepas Tee Keat membuat pelantikan berkenaan berikutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu Selasa lepas.

Kebanyakan anggota MCA terkejut apabila mendapati dua pemimpin itu begitu cepat menyambung "permusuhan mereka", sedangkan mereka baru saja mengisytiharkan secara terbuka untuk bekerjasama bagi memperbaiki keretakan yang berlaku dalam parti itu.

"Saya memang menduga akan wujud perbezaan pendapat antara mereka, tapi tidak sangkalah ia akan meledak secepat ini," kata seorang anggota jawatankuasa berkenaan sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang sebagai permulaan bagi "suatu kisah yang tidak akan ada penghujungnya".

"Dalam sejarah MCA, kami belum pernah melihat perang meletus sebaik saja barisan kepimpinan diumumkan. Selalunya, kami dapati perbalahan hanya berlaku apabila pemilihan parti semakin hampir," katanya.

Perbalahan terbaru yang berlaku antara dua pemimpin tertinggi MCA itu mengimbas semula kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.

Ho Kin Chai, pensyarah sains politik dan bekas pengarah penyelidikan dan perancangan MCA, berkata masalah antara dua pemimpin tertinggi itu tercetus kerana pemimpin Nombor 1 "selalunya terdorong untuk mengawasi apa yang dilakukan oleh pemimpin Nombor 2. Kebimbangan akan menghantui dirinya apabila melihat pemimpin Nombor 2 menjadi lebih berpengaruh dalam kalangan masyarakat Cina.

"Satu sebab lagi ialah kerana pemimpin Nombor 2 berpendidikan Cina, sedangkan pemimpin Nombor 1 tidak begitu, hinggalah kebelakangan ini, yang walaupun kedua-dua mereka berpendidikan Barat, namun sengketa tetap tercetus antara mereka," kata Ho.

Sebelum ini, berlaku perbalahan antara bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dan timbalannya Tan Sri Lim Ah Lek dan sebelum itu pula antara Dr Ling dan Tan Sri Lee Kim Sai, antara Datuk Neo Yee Pan dan Tan Koon Swan dan antara Tan Sri Lee San Choon dan Tan Sri Michael Chen.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ong Ka Ting, yang menerajui parti itu sebelum Ong Tee Keat, tidak mengalami masalah sedemikian kerana beliau mempunyai hubungan "lancar" dengan timbalannya Tan Sri Chan Kong Choy, jawatan yang kemudiannya diambil alih oleh Dr Chua.

Seorang pemimpin akar umbi yang memihak kepada Dr Chua berkata: "Perlu diingat bahawa Dr Chua telah berjaya mengalahkan seorang menteri, yang juga menjadi setiausaha agung parti ketika itu. Dalam sejarah BN, belum pernah terjadi seorang "orang luar" mampu memenangi jawatan setinggi itu dalam parti.

"Anggota perwakilan mahu dua pemimpin berkenaan bekerjasama dan berganding bahu. Dan untuk memastikan perkara ini tercapai, seseorang itu perlu membuktikan keikhlasannya dengan tidak mengetepikan sesiapa. Ini adalah sesuatu, yang tidak dapat tidak, mesti dilakukan," katanya.

Pada pemilihan parti baru-baru ini, Dr Chua menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan, abang kepada Ong Ka Ting, bekas presiden MCA.

Seorang lagi penyokong Dr Chua berkata: "Walaupun saya memahami kenapa beliau (Tee Keat) berbuat begitu (mengetepikan Dr Chua), tapi pelantikan yang dibuatnya tidak mencerminkan sikap beliau yang mahu bekerjasama dengan orang lain, terutama mereka yang menjadi pesaingnya dalam politik.

"Nampaknya, beliau bukan jenis orang yang ingin mengeratkan hubungan persahabatan," katanya, sambil menyifatkan Tee Keat sebagai seorang "lone ranger" yang memiliki perjuangan yang salah".

Seorang pemimpin cawangan MCA dari Batu Pahat pula bertindak lebih jauh dengan menuduh presiden parti itu "ingin mencincang beliau (Dr Chua)" dan seterusnya memberi peringatan bahawa Dr Chua juga "seorang pejuang yang bersemangat kental".

Sambil menyalahkan Tee Keat, pemimpin cawangan ini berkata MCA perlu meletakkan pemimpin yang kuat, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, bukan menempatkan diri beliau di tempat lebih selamat.

Tee Keat melepaskan jawatan sebagai pengerusi MCA Selangor dan mengambil alih jawatan pengerusi MCA Johor bagi menggantikan tempat Ka Ting.

Para penyokong Dr Chua juga mendakwa tindakan Tee Keat itu telah meruntuhkan benteng kesabaran ketua mereka. Bagaimanapun, para penyokong Tee Keat membalas dakwaan itu dengan berkata tindakan Dr Chua menuntut agar jawatan menteri diberi kepadanya, telah menimbulkan kemarahan presiden parti.

"Tiga hari selepas pemilihan parti, Dr Chua pergi berjumpa dengan Tee Keat dan meminta beliau diberi jawatan menteri. Inilah puncanya," kata seorang penyokong Tee Keat bagi memberi sebab kenapa dua pemimpin berkenaan kelihatan telah melanggar ikrar mereka sebelum ini untuk bekerja bersama-sama.

Dr Chua melepaskan jawatan Menteri Kesihatan dan semua jawatan parti Januari lepas setelah mengaku beliaulah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita dalam rakaman video yang diedar secara meluas dan disiarkan melalui Youtube.

Ketika mempertahankan keputusan beliau mengenai pelantikan berkenaan, Tee Keat berkata tindakannya itu bukan sesuatu yang luar biasa dan ia dibuat berasaskan prinsip serta "bukan untuk mengambil hati pihak tertentu."

Beberapa pemimpin parti berkata Tee Keat bertindak mengikut lunas-lunas perlembagaan parti dan apa yang beliau lakukan, bukan perkara baru, kerana sebelum ini pun, ada timbalan presiden atau naib presiden yang tidak diberi sebarang jawatan.

"Ini bukan perkara baru bagi MCA. Sekiranya Dr Chua mahu jawatan tertentu diberikan kepadanya, maka beliau perlu menjadi presiden parti kerana jawatan itu diperuntukkan dengan kuasa prerogatif," kata seorang daripada mereka.

Bekas naib presiden Datuk Yap Pian Hon berkata pada 1980-an, presiden MCA ketika itu Tan Sri Lee San Choon tidak memilih timbalan beliau, yang juga Menteri Buruh Datuk Richard Ho, untuk bertanding pada pilihan raya umum.

"Perkara serupa juga berlaku pada diri saya ketika menjadi ketua pemuda dan kemudian naib presiden, tetapi hanya kekal sebagai Anggota Parlimen," katanya.

"Tidak pernah wujud suasana aman antara Nombor 1 dan Nombor 2, manakala Nombor 1 tidak pernah naik ke tempat teratas, sampailah hari ini. Nombor 1 dan Nombor 2 selalu berakhir dengan kesedihan. Sebab itulah wujud cakap-cakap agar jawatan naib presiden dihapuskan," kata seorang orang dalam MCA kepada Bernama.

Katanya lagi: "Nampaknya MCA mempunyai masalah Feng Sui".

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.