PR Terus Mencuba : Apa bakal berlaku 4 atau 5 November~malaysiakini
Pakatan Rakyat tetap tidak berputus asa dan akan meneruskan percubaan-percubaan untuk menukar kerajaan pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional. 16 September 2008 telah berlalu dan sebagaimana yang dijangka dan diramal oleh saya dalam posting terdahulu percubaan tersebut belum berjaya (bukan gagal). Namun ia sedikit pun tidak menjejaskan imej PR, bahkan 16 September berjaya menjadikan Barisan Nasional dalam keadaan gelabah, memaksa mereka melarikan ahli-ahli Parlimen mereka membuat lawatan sambil belajar pertanian di bulan Ramadhan yang mulia.
Usul untuk mengadakan persidangan khas Parlimen 23 September untuk membincangkan hilang kepercayaan terhadap Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau tidak dilayan oleh Yang Dipetua Dewan. Tidak ada dalam sejarah usul pembangkang diterima bulat-bulat oleh Yang Dipertua.
Cubaan diteruskan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk diadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat. Difahamkan sehingga hari ini Perdana Menteri yang akan berundur Mac depan tidak memberi jawapan walau pun beliau mengakui menerima surat Anwar yang antara lain isi kandungannya menyentuh isu-isu yang melanda negara.
Surat itu tidak menyebut tentang peralihan kuasa BN kepada PR, kata Perdana Menteri. Yalah. Takkanlah PR tidak tahu adab tatatusila untuk mohon menyantuni PM, lantas menggunakan bahasa yang tidak terhormat. Surat itu adalah suatu permohonan untuk mengadakan kunjung hormat kepada PM. Kenapa ianya tidak disambut dan diterima.
Perjumpaan dengan PM secara rasmi dikira suatu cara yang lebih sopan dan beretika kerana itu juga saranan Umno apabila pembangkang mengadakan demonstarasi dalam menuntut suatu perkara.
Mengapa perlu berarak di jalan raya, menakut-nakutkan orang. Apakah tiada jalan lain seperti duduk dan berundingan. Itu kata pemimpin negara.
Bila dimohon untuk bersemuka ini pula jadinya. Pelbagai alasan pula diberi untuk mengelak daripada berjumpa. Tidak perlu, tidak penting, tidak menjadi keutamaan. Piiraah!
Pertemuan dengan PM kelak akan disusuli dengan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk memohon perkenan dengan menyembah pandangan menangani kegawatan suasana politik dan ekonomi negara sekarang.
Perbahasan Bajet 2009 dimulakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membentangkan sama bajet alternatif Pakatan Rakyat. Kemudian dikemukakan supaya suatu bajet lain perlu dibentang semula oleh pihak kerajaan. Bermakna pakatan pembangkang tidak dapat menerima keseluruhan bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu.
Sidang parlimen bajet akan berakhir dengan pengundian untuk meluluskan bajet yang telah dibentang dan diperbahaskan. Bajet 2009 hangat diperdebat oleh Pakatan Rakyat
Difahamkan bahawa mengikut amalan sistem demokrasi seluruh dunia sekiranya belanjawan negara tidak mendapat sokongan penuh parlimen, maka kerajaan yang mengemukakan belanjawan tersebut perlu berundur dan diganti dengan kerajaan lain melalui proses yang aman dan demokratik.
Cuma kita menunggu sistem pengundian bagaimanakah yang akan dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat. Anwar mengharapkan 31 orang ahli parlimen Barisan Nasional akan menunjjukkan keberanian mereka kali ini.
Teruskan, teruslah mencuba sehingga Barisan Nasional tersungkur!
No comments
Post a Comment