umno perak semakin hancur~malaysiakini
Umno Negeri Perak sebenarnya dalam kesengsaraan. Bila mereka kalah dalam pilihan raya yang lalu, hingga tidak lagi bermaya, beberapa ketua bahagian dilihat 'melarikan diri' dengan alasan mahu memberi peluang kepada muka baru, menggantikannya.
Jika mereka masih berkuasa, menang dalam pilihan raya lalu, mustahil perkara seperti ini berlaku. Lebih menarik, beberapa ketua bahagian, tewas di bahagian masing-masing.
Terbaru, hasrat bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat, Dato' Hamzah Zainuddin mahu bertanding di Larut, kempunan.
Setakat ini, bahagian Bruas, Gopeng, Bagan Serai, Bukit Gantang dan Taiping sudah bertukar ketua bahagian.
Dalam kes Hamzah dengan Umno Bahagian Larut, jika Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali 'memainkan' peranan, ia tidak menjadi buntu begini. Bukan sekali, ketua bahagian berpindah bahagian dan banyak kes boleh dirujuk, jika ada inisiatif.
Soalnya, hubungan Hamzah dengan Tajol Rosli dikatakan tidak 'mesra' menyebabkan urusan ini menjadi isu besar.
Hamzah juga sepatutnya sedar, ketika dia diberi peluang bertanding di Larut, sepatutnya dia tidak jadikan 'peluang' itu sebagai langkah hendak 'menghambat keluar' pemimpin-pemimpin Umno Larut dari menerajui Umno bahagian itu.
Penyandang jawatan ketua bahagian sekarang, Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mungkin terkenang peristiwa bagaimana dia mengambil alih kepimpinan bahagian itu dari bekas ketua bahagian dahulu, Dato' Ali Md Isa.
Ketika Raja Ahmad cukup berpengaruh, dalam era Tan Sri Ramli Ngah Talib menjadi Menteri Besar, Raja Ahmad berjaya 'menghambat keluar' Ali dari kepimpinan bahagian itu.
Hari ini, saki baki orang-orang Ali tentunya menanti saat-saat 'kejatuhan' Raja Ahmad yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Perak (Ramli Ngah Talib).
Dalam sejarah Umno, contoh paling baik yang Umno Perak kena tengok ialah bagaimana Dato' Seri Syed Hamid Albar berpindah dari mengetuai bahagian Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan, ke Umno Bahagian Kota Tinggi di Johor.
Dengan bantuan dan kerjasama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Syed Hamid berjaya menjadi ketua bahagian di Kota Tinggi dengan penyandang jawatan, Hasmoni Salim turun menjadi timbalan.
Satu contoh yang perlu juga Hamzah fikirkan ialah, tidak perlu berpindah dari Ipoh Barat ke Larut. Bukannya jauh mana dari kawasan lamanya ke tempat dia menjadi Ahli Parlimen. Untuk apa dia berpindah?
Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil masih kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno Kepong walaupun menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai, selama tiga penggal.
Tajol Rosli mungkin 'tidak berminat' untuk membantu Hamzah. Peristiwa Hamzah tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum 2004, mungkin menyebabkan Tajol Rosli-Hamzah masih 'terluka'.
Hamzah mungkin 'syak' Tajol Rosli yang menjadi penghalang kepadanya untuk bertanding, manakala Tajol Rosli mempunyai cerita sendiri mengapa Hamzah tidak boleh diletakkan bertanding kerana karenah Hamzah sendiri.
Sebenarnya, banyak juga cerita pindah bahagian ini berlaku. Ambil contoh Dato' Mohamad Zin Mohamad (Menteri Kerja Raya) yang merupakan Ketua Umno Bahagian Shah Alam boleh berpindah dengan mudah ke Sepang dan kekal menerajui Umno Sepang hingga kini.
Yang tidak mahu berpindah keahliannya ialah Dato' Seri Aziz Shamsuddin, terus mahu mengetuai Umno di Gopeng tetapi menjadi Ahli Parlimen Shah Alam. Akhirnya, orang Shah Alam menolaknya!
Di Perlis, Tan Sri Dr. Abd Hamid Pawanteh adalah Ketua Umno Bahagian Arau suatu ketika dahulu tetapi boleh bertanding di Kangar.
Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengetuai Umno Bahagian Hulu Selangor sejak sekian lama, akhirnya mengetuai Umno Bahagian Kelana Jaya. Dato' Zein Isma Ismail beberapa ketika berada di Bahagian Kluang di Johor, berpindah ke bahagian Selayang sebelum berjaya menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Subang. Baru-baru ini tewas di tangan
Dato' Ir Mohd Busro Johor dalam pertandingan merebut jawatan ketua bahagian.
Satu lagi contoh, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adlah Ketua Umno Bahagian Seputih sebelum bertanding di Puytrajaya dan akhirnya mengetuai Umno Putrajaya.
Di Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid berpindah dari Pokok Sena ke Padang Terap, tanpa apa-apa masalah.
Jika Raja Ahmad meletakkan kepentingan parti yang memberinya banyak peluang menjadi Adun-MP-Adun semula, kedatangan Hamzah ke Larut sepatutnya disambut dengan 'karpet merah'.
Barangkali Raja Ahmad nampak, Hamzah tidak panjang hayat politiknya, memandangkan mentor Hamzah, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah nampak pintu keluar yang boleh membawa Hamzah 'terkeluar' sama.
Inilah Umno sebenarnya. Ketika pemimpin-pemimpin mereka bercakap soal perpaduan, tolak ansur dan membuka peluang kepada pemimpin-pemimpin baru, sekat-menyekat dan haling-menghalang tetap berlaku.
Raja Ahmad mungkin tidak mampu untuk turun menjadi timbalan, jika Hamzah diterima memimpin bahagian kerana kekuatan kepada penyandang timbalan sekarang, Dato' Mohd Daud Mohd Yusoff juga perlu diambil kira.
Dalam persaingan mendapatkan pencalonan, Mohd Daud mendapat lebih pencalonan dari Hamzah dan Raja Ahmad.
Jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Mohd Daud-Raja Ahmad-Hamzah Zainuddin, belum tentu Mohd Daud tewas, walaupun Hamzah adalah Timbalan Menteri Persekutuan sekarang dan Ahli Majlis Tertinggi (yang dilantik).
Menurut laporan media, Raja Ahmad sudah menyampaikan aduannya menolak Hamzah dari menyertai pertandingan ketua bahagian kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Umno di Ibu Pejabat, tetapi kes seperti ini sebenarnya 'kes kecil' yang sengaja tidak mahu diselesaikan kerana Hamzah adalah 'orang Abdullah' yang mereka lihat, sudah tidak perlu dilayan lagi.
"Habis tempoh Abdullah menjadi Presiden Umno, habislah hayat politik Hamzah," kata seorang pemerhati politik dari Ipoh.
Kata mereka yang kenal dengan Hamzah, kemasukkan Hamzah dalam kerajaan dan diberikan pelbagai jawatan hanyalah kerana Hamzah merupakan penyokong kuat Abdullah.
Tidak hairanlah apabila gagal menjadi calon dalam PRU 11,21 Mac 2004, Hamzah dilantik menjadi Senator dan Pengerusi Felcra. Selepas bertanding dan menang dalam PRU 12, 8 Mac 2008, Hamzah dinamakan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selain dilantik menjadi Ahli MT, sejak 2004.
Ketika Ketua Umno Bahagian Kampar, Dato' Radzi Manan menyerang kuat Tajol Rosli sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, sepatutnya Tajol Rosli mampu menyelesaikan 'pertikaian' antara Raja Ahmad-Hamzah ini dalam suasana 'baik' tetapi disebabkan kemampuan untuk menjadi penyelesai masalah sudah tidak ada, tidak hairanlah jika pencalonan untuk bertanding Ahli MT Tajol Rosli jauh ketinggalan di belakang Dato' Tajuddin Abdul Rahman dan Dato' Dr Zamry Abdul Kadir.
No comments
Post a Comment