ZAID IBRAHIM DAN BAYARAN EX-GRATIA


1. Saya bersetuju dengan Datuk Zaid Ibrahim, bekas (mantan) Menteri Undang-undang de fakto bahawa bayaran ex-gratia RM5 juta adalah bersesuaian jika dibanding dengan pendapatan peguam terkemuka di negara ini yang mencecah RM2 juta setahun.

2. Bahawa peguam terkemuka di Malaysia mendapat RM2 juta setahun amat memberangsangkan saya. Jelas sekali saya telah pilih karier yang salah kerana Perdana Menteri mendapat hanya RM240,000 setahun. Ini tentulah kerana tanggungjawab Perdana Menteri tidak seberat peguam, wallahua'lam.

3. Dakwaan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-undang tentang pendapatan peguam terkemuka tentulah diasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai pemilik firma guaman yang mempunyai 100 peguam. Saya tidak pernah baca berkenaan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-undang mempertahankan mana-mana penjenayah atau anak guam dalam mahkamah. Jadi saya tertanya-tanya daripada manakah datangnya pendapatan yang lumayan bagi firma guamannya dan sudah tentu dirinya sendiri.

4. Apakah mungkin pendapatan yang tinggi dan banyak ini datang daripada urusan-urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan Kerajaan dan lain-lain keperluan "conveyancing" Kerajaan? Ini sangkaan saya sahaja. Jika tidak benar tunjuk bukti yang ianya tidak benar.

5. Jika benar patutkah bekas Menteri ini tutup mata pencarian yang lumayan ini kepada peguam Bumiputera yang lain kerana ingin dikenali sebagai seorang yang liberal yang tolak Dasar Ekonomi Baru dengan peluang-peluang untuk Bumiputera?

6. Apa perlunya dasar-dasar DEB selepas kita sudah sampai ke atas? Buang sahajalah supaya orang lain tidak mendapat manfaat daripadanya.

7. Parti Keadilan sedang menggamit. Tempat tertentu boleh dikosongkan supaya calon baru dapat mengisinya. Duit tak penting. Apabila pendapatan sudah sebanyak RM2 juta setahun siapa perlu jawatan Menteri yang tidak menjanjikan pendapatan yang setanding?

8. Sesungguhnya politik adalah cahaya yang terang yang dapat mendedahkan banyak yang tersembunyi dan tidak ternampak atau diketahui dahulu.

9. Dalam cahaya politik yang terang-benderang kita dapat lihat dan kenal ramai orang yang kita tidak kenal dahulu.

No comments

Powered by Blogger.