Kenyataan Media Tentang ‘Jom Heboh’
“ISLAM ADALAH CARA HIDUP” MUFTI.
Ps./AM.3/014(79)
30 April 2008
KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN
Assalamualaikum wr. Wbth.,
Tuan
KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH
Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut.
2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:
i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis
ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin
iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan
iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.
v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan
vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan
vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.
Sekian , terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”
Saya yang menjalankan tugas,
( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )
Mufti,
Kerajaan Negeri Perlis.
No comments
Post a Comment