Warga kerja perlu lebih inovatif, kreatif


PUTRAJAYA: Perdana Menteri menggesa warga kerja bangkit dengan keazaman kukuh untuk menambah ilmu dan memahirkan diri agar menjadi pekerja inovatif dan kreatif yang gigih berusaha membangunkan negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kejayaan Misi Nasional menuntut komitmen dan tindakan bersama setiap warga kerja Malaysia bagi memastikan keharmonian masyarakat dan kejayaan pembangunan negara.

"Aspirasi negara untuk menjadi negara maju memerlukan komitmen setiap lapisan masyarakat termasuk pekerja untuk sentiasa bekerja keras dan memperkayakan diri dengan sifat dan sikap masyarakat yang berminda kelas pertama," katanya dalam perutusan Hari Pekerja 2008 yang disambut hari ini.



Tema sambutan Hari Pekerja tahun ini ialah 'Pekerja Inovatif, Negara Kompetitif.'

Perdana Menteri berkata, negara akan mencapai matlamat itu jika rakyat terus berusaha penuh keazaman dan iltizam untuk membangunkan negara bersama-sama ke arah menjadikan Malaysia yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing.

Abdullah juga mengingatkan bahawa sektor pekerjaan hari ini memerlukan pekerja yang bukan saja terlatih dan berkemahiran, malah berinovasi dan kreatif dalam pelbagai bidang.

Katanya, kerajaan amat menghargai kerjasama warga pekerja, kesatuan sekerja dan majikan dalam mengekalkan persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni bagi menjayakan dasar dan program pembangunan negara.

Katanya, permuafakatan yang baik dapat menggalakkan kestabilan dan pertambahan ekonomi negara seterusnya menarik kehadiran lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja, kesatuan sekerja dan majikan atas komitmen dan kerjasama yang diberikan untuk sama-sama menjayakan dasar dan program pembangunan negara," katanya.

Abdullah berkata, penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terhadap pembangunan modal insan khususnya tenaga kerja yang berpengetahuan dan berdaya saing adalah satu peralihan yang tepat pada masanya kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada kos tenaga buruh yang murah.

"Kemahiran dan pengetahuan menjadi prasyarat kepada peningkatan pendapatan pekerja dalam ekonomi negara hari ini kerana sektor pekerjaan memerlukan pekerja yang bukan saja terlatih dan berkemahiran, malah berinovasi dan kreatif," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedar dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi), keupayaan untuk menjana, menyebar dan menggunakan ilmu pengetahuan menjadi faktor penting yang menentukan tahap produktiviti dan daya saing negara.

"Kerajaan juga menyedari isu inovasi merentasi pelbagai faktor, bukan saja bidang sains dan teknologi. Ia merangkumi pelbagai aspek sosio-ekonomi, pentadbiran dan pengurusan serta aspek kehidupan manusia.

"Inovasi membolehkan peningkatan kualiti hidup masyarakat melalui pembaharuan, penambahbaikan mutu produk dan perkhidmatan serta penambahan pilihan produk dan perkhidmatan kepada pengguna," katanya.

Pada masa sama, Abdullah menggesa tenaga mahir pekerja juga dilengkapkan dengan jati diri tinggi yang penuh dengan sifat jujur, amanah, berwawasan demi mengutamakan kualiti pekerjaan.

No comments

Powered by Blogger.