bersatu kita bersatu....bersama pemimpin penipu..rakyat selalu ditipu...untuk ambil duit saku...
KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu penyokong ketiga-tiga calon Timbalan Presiden bersatu dan kembali bekerjasama selepas berakhirnya pemilihan parti, Mac depan.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, mengakui pertandingan bagi jawatan kedua tertinggi dalam parti itu akan mewujudkan tiga kumpulan dalam parti.
“Kewujudan tiga kumpulan itu sudah tentu akan memecahkan ahli Umno tetapi diharap ini hanya berbentuk sementara dan tidak menyebabkan perpecahan yang berterusan.
"Itu adalah kehendak ahli Umno dan ini bermakna ketiga-tiga calon itu perlu bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini, semalam.
Beliau mengulas tiga calon yang layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Abdullah berkata, Umno tidak akan berjaya mengharungi cabaran masa depan jika dipimpin oleh mereka yang tidak ikhlas dalam perjuangan.
Katanya, pemimpin yang hanya mementingkan jawatan dan diri sendiri serta kumpulan masing-masing, tiada integriti dan tiada hala tuju, tidak mampu memimpin parti.
“Apa yang perlu, Umno mesti dibarisi oleh mereka yang mempunyai integriti, ikhlas dan sanggup berkorban untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Pada mesyuarat itu, Abdullah kekal sebagai Ketua Umno bahagian apabila menang tanpa bertanding. Beliau turut menerima borang keahlian 116 orang dari cawangan yang baru ditubuhkan iaitu Taman Sejahtera.
Sehubungan itu, Abdullah mengingatkan perwakilan yang akan menghadiri perhimpunan agung Umno pada Mac depan supaya bijak memilih pemimpin yang bakal mewarisi pentadbiran parti.
"Ada pemimpin yang tercemar dan integriti dicurigai. Apa yang perlu ialah memilih pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan berjuang untuk parti dan bukannya untuk kepentingan diri.
"Inilah matlamat yang perlu ada pada perwakilan sama ada di peringkat bahagian mahupun nasional," katanya.
Beliau turut berharap tempoh lebih tiga bulan menjelang pemilihan parti Mac depan tidak dicemari dengan politik wang dan perbuatan yang boleh mencemarkan parti.
Pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata, masalah politik wang akan berterusan selagi perwakilan terus meminta daripada calon bertanding.
"Selagi ahli Umno berharap untuk mendapat wang daripada undi mereka, maka politik wang tidak akan selesai dan akan berterusan," katanya.
Kelmarin, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, menyatakan pihaknya menerima lebih 900 aduan mengenai politik wang.
No comments
Post a Comment