Media perdana didakwa tidak beri liputan adil
IPOH 10 Nov. - Kerajaan pakatan pembangkang Perak mendakwa media arus perdana secara jelas tidak memberi ruang liputan yang adil kepada program kerajaan negeri Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kalau ada sekalipun, ia lebih kepada laporan yang diselewengkan faktanya.
Ekoran itu, katanya, sebaik mana dasar atau program yang dilaksanakan sekalipun, ia tidak akan memberi impak atau kesan yang positif kepada kerajaan negeri pakatan pembangkang jika maklumat tidak sampai kepada rakyat.
''Begitulah juga dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya Perak FM yang bertapak di bumi Perak yang diterajui pakatan pembangkang yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, tetapi RTM umpama kacang lupakan kulit, sekadar manis di bibir dan tidak berpegang kepada pepatah Melayu iaitu 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.'
''Perak FM bukan sekadar tidak memberi ruang liputan pada majlis rasmi kerajaan negeri, malah lebih teruk daripada itu tidak memberi gambaran yang adil, sebaliknya hanya negatif, tohmahan dan berniat jahat," katanya dalam Ucapan Bajet 2009 di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
No comments
Post a Comment