Najib Azam Galas Amanah Kepercayaan Akar Umbi Umno
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno selepas mendapat 134 pencalonan bagi jawatan itu hari ini, menyatakan keazaman untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh akar umbi Umno.
Beliau percaya pencalonan itu mencerminkan kehendak dan keyakinan akar umbi terhadap pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya berazam untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh Umno dan BN.
"Saya bersyukur dan terharu di atas kepercayaan yang telah diterjemahkan dalam bentuk pencalonan oleh 134 bahagian yang telah bersidang, sekali gus menandakan kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Umno," kata beliau dalam laman blognya 1Malaysia.com.my.
Najib juga berharap agar proses pemilihan yang sedang berlaku sekarang dapat terus berjalan dengan bersih dan teratur.
"Marilah kita bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan Negara," katanya.
Timbalan Presiden Umno itu hari ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno apabila menambah 22 lagi pencalonan baru sehingga pukul 7 malam ini.
Ini menjadikan jumlah yang diterima Najib sebanyak 135 pencalonan.
Najib menerima pencalonan daripada bahagian Batu Kawan, Tawau, Silam, Keningau, Teluk Kemang, Tampin, Puchong, Sekijang, Ayer Hitam, Kulim-Bandar Baharu, Tanjung Malim, Segamat, Bentong, Kapar, Kota Raja, Muar, Indera Mahkota, Klang, Cameron Highlands, Teluk Intan, Balik Pulau dan Labuan.
-- BERNAMA
masih jauh perjalanan hang najib
No comments
Post a Comment