Polis tahan 70 lelaki disyaki sertai pesta gay~malaysiakini

GEORGETOWN: Polis menahan lebih 70 lelaki berusia 20 hingga 40-an termasuk warga asing kerana disyaki menyertai pesta gay di tiga pusat kecergasan diri di Pulau Tikus dan Seberang Prai di sini kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan ada antara mereka hanya memakai tuala dan polis dikatakan menemui pelbagai jenis kondom yang sudah dan belum digunakan di ketiga-tiga premis berkenaan.

Turut ditemui cakera video digital (DVD).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC) II Wan Abdullah Tuanku Said, berkata serbuan dilakukan pada jam 5 petang membabitkan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJ).

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wan Abdullah berkata, polis turut menyiasat bagi mengenal pasti pemilik pusat kecergasan itu kerana dipercayai menyalahgunakan lesen perniagaan pusat kecergasan untuk kegiatan tidak bermoral.

Katanya, dalam pemeriksaan itu polis turut menahan beberapa warga asing yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

Katanya, semua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPKPP) untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti aktiviti sebenar pusat berkenaan.

“Polis masih menyiasat sejak bila kumpulan lelaki ini beroperasi dan siapa yang mendalangi kegiatan mereka," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram termasuk aktiviti gay di mana-mana pusat kecergasan mahupun pusat hiburan melaporkannya kepada polis.

No comments

Powered by Blogger.