Saya ada formula' - MB


Azizan Razak mempunyai formula untuk menyelesaikan tunggakan caruman berjumlah RM838,983.

ALOR STAR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abd. Razak berjanji akan menyelesaikan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) persatuan itu yang tertunggak sehingga RM838,983, lapor SAFINA RAMLI.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah menjelaskan, kegagalan KFA untuk membayar caruman tersebut dikesan bermula sejak dulu ketika dia belum memegang jawatan presiden KFA lagi.

"Mereka (kerajaan terdahulu) yang tak bayar tapi saya telah mempunyai formula tersendiri untuk mengatasi masalah ini.



"Saya berjanji akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, Azizan enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai formula yang telah diperoleh untuk menyelesaikan masalah caruman KWSP yang tertunggak itu.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang mendedahkan sembilan persatuan bola sepak (FA) negeri termasuk Kedah gagal melunaskan caruman KWSP mereka sehingga mencecah RM4 juta.

Azzuddin berkata, hanya lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan yang tidak terbabit dengan masalah itu dan memuji kecekapan pentadbiran persatuan bola sepak di negeri-negeri tersebut.

No comments

Powered by Blogger.